Memilih bakal isteri

Assalamualaikum

Isteri adalah tempat penenang bagi suaminya, tempat menyemaikan benihnya, teman baiknya, pengatur rumahtangga, ibu kepada anak-anaknya, tempat menyimpan rahsianya dan tempat mengadu masalah. 


Ia merupakan tiang rumahtangga yang terpenting kerana ia merupakan tempat kemuliaan anak-anak. Darinya bermula pendidikan anak-anak dan tempat mendapat warisan sifat-sifat yang ada pada dirinya dan tempat anak-anak membentuk emosi, bakat dan juga bahasanya, mengenali agama dan tempat memperolehi latihan hidup bermasyarakat. 
Seorang lelaki atau perempuan berhak dalam menentukan pasangan hidup mereka. Masing-masing mempunyai citarasa yang berlainan namun ianya hendaklah tidak bertentangan dengan petunjuk Allah melalui lisan RasulNya Nabi Muhammad S.A.W. Utamakan petunjuk Rasullullah SAW daripada kehendak diri atau kehendak orang lain. Jika ibubapa kita adalah mereka yang memahami agama dengan baik, maka elok juga menyerahkan kepada mereka untuk memilih. Tetapi jika ibubapa tidak mempunyai kefahaman yang yang jelas dalam beragama, dan lebih menonjol dalam mengikut pandangan sendiri, maka mintalah izin untuk mencari calon isteri sendiri. 

Daripada Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasullullah SAW bersabda, maksudnya: 
"Seseorang wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, 
kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Kahwinilah dengan wanita yang baik penghayatan agamanya semoga engkau akan dapat ketenteraman." 
(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasa'I) 

Berdasarkan hadith di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa apabila 
seseorang lelaki inigin memilih calon isteri, dia harus menimbangkan perkara-perkara seperti...


1.  Agamanya
Isteri yang solehah adalah tiang untuk ketahanan rumahtangga. Isteri yang 
sabar dan mententeramkan suami apabila terlalai, berlemah lembut dengan 
suami, menghiburkan hati serta mendidik anak dengan akhlak yang mulia. 
Apakah yang dikatakan agama? 
Pernah diriwayatkan di zaman Saidina Umar r.a, telah datang seorang 
kepadanya dengan membawa saksi untuk dirinya. Lalu Saidina Umar bertanya kepada saksi itu 
"Apakah kamu pernah merantau bersamanya?" 
Jawabnya: "Tidak." 
"Apakah kamu pernah berjual beli dengannya?" 
Jawabnya: "Tidak." 
"Dengan apakah kamu hendak menjadi saksi kepadanya, adakah hanya dengan kamu melihat dia rukuk dan sujud di dalam masjid? 
Jawabnya : " Ya." 
Berkata Saidina Umar r.a : "Pergilah engkau mencari orang lain untuk menjadi saksi kerana orang ini belum mengenali dirimu lagi." 

Daripada cerita ini, haruslah kita fahami bahawa yang dikatakan agama itu, 
bukanlah hanya mengukur dengan melihat betapa seseorang itu tekun beribadah semata-mata tetapi juga kemuliaan akhlaknya. Akhlak yang baik adalah penenang mata sesiapa yang memandang, yang bergaul dengannya, yang mengunjunginya dan siapa yang berurusan dengannya.


2.  Keturunannya
Wanita yang dijadikan pasangan hidup juga perlu diperhatikan keturunannya. Sebaiknya wanita itu daripada keturunan yang baik, iaitu daripada keluarga yang menjaga amal ibadahnya dan yang mencari rezeki dengan cara lurus serta bersih. 
Calon isteri daripada keluarga yang soleh lazimnya telah terdedah kepada 
keluarga yang dibentuk berlandaskan agama. Salah satu tujuan untuk berkahwin ialah untuk mendapatkan zuriat yang soleh agar ia memberi faedah kepada kedua ibubapa serta keluarga, satu peninggalan yang akan mendoakan kedua ibubapanya ketika mereka di alam barzakh. 
Selain daripada pengaruh pembesarannya, elok juga melihat samada keturunan wanita tersebut ada yang menghidap penyakit genetik yang mungkin mempengaruhi zuriat anda berdua.


3.  Kecantikannya
Kecantikan memainkan peranan yang penting di dalam menikmati kebahagiaan rumahtangga. Kecantikan isteri akan menjadi benteng kepada suami dalam menghadapi godaan syaitan. 
Apakah yang dikatakan cantik? Cantik sebenarnya adalah sesuatu yang 
subjektif kerana lain orang lain pandangannya. Tidak perlu mencari wanita 
secantik Siti Nurhaliza kerana cantiknya wanita itu adalah mengikut sesedap 
calon suami memandang. Kadang-kala itu, hidungnya yang mancung sudah 
mengunci hati bakal suami walaupun kulitnya gelap dan legam.


4.  Harta
Harta bukanlah matlamat tetapi ianya juga merupakan keperluan hidup. Sedikit sebanyak ia akan menolong memberi ketenangan di dalam kerunsingan memikirkan masa depan. Tidak bermaksud harta yang menimbun-nimbun, cuma sekadar cukup untuk memulakan hidup bersama tanpa mengharapkan harta suami semata-mata. 
Selain daripada faktor di atas, anda juga boleh menimbangkan faktor-faktor seperti...


5.  Minat yang sama
Walaupun orang kata "opposites attract" tetapi mempunyai minat yang sama 
dalam sesuatu perkara juga boleh membantu mengeratkan hubungan suami isteri. 
Mengekalkan komunikasi suami isteri adalah penting untuk keharmonian. Jika 
anda suka bersukan, mungkin elok jika memilih bakal isteri yang menyenangi 
aktiviti sukan. Boleh juga menjadi topik perbualan di rumah. Jikalau minat 
menonton wayang, bolehlah bawa isteri pergi menonton bersama-sama.


6.  Menghormati orang tua
Seorang wanita yang menghormati orang tua akan memudahkan anda dalam 
mengekalkan hubungan dengan mertua. Sudah tentu anda inginkan seorang isteri yang pandai mengambil hati keluarga anda.


7.  Berdikari
Wanita yang berdikari boleh membantu anda dalam urusan menguruskan 
rumahtangga terutama jika kerja anda memerlukan perhatian lebih di pejabat. 
Selain daripada itu, sikap ini mungkin dapat membantu mengekalkan 
kesinambungan keluarga sekiranya terjadi apa-apa kepada suami seperti hilang upaya ataupun hilang sumber pendapatan.


8.  Bertolak Ansur
Jika anda seorang yang bercita-cita tinggi, anda mestilah mencari seorang 
wanita yang boleh bertolak ansur, tidak cepat cemburu dan boleh mengawasi hal ehwal rumahtangga. Jikalau isteri cepat cemburu, ianya mungkin menimbulkan masalah dalam usaha anda dalam mengejar cita-cita.


9.  Menghormati Suami
Pilih calon isteri yang menghormati anda. Jika tidak , ia mungkin akan 
menyukarkan anda sebagai suami untuk membentuk isteri. Mungkin calon isteri tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh tetapi yang penting beliau menghormati anda sebagai ketua keluarga dan sanggup dididik serta menerima tunjuk ajar agama daripada suami.


10.  Keserasian
Akhir sekali, calon isteri haruslah mempunyai keserasian dengan anda. Setiap orang mempunyai keserasian yang berlainan dan mungkin ada sesuatu yang tidak sesuai untuk anda tetapi sesuai untuk orang lain. 

Tidak perlu rasa seperti terkena panahan cinta apabila memandang seseorang wanita, yang penting, dapatkah anda rasakan bahawa hanya wanita itu yang sesuai menjadi ibu kepada anak-anak anda dan seterusnya pengubat rindu anda???

0 Comment:

  • description
  • .

Video Gallery


ShoutMix chat widget